Friday, December 31, 2010

MAKHLUK HALUS (JIN @ SYAITAN)

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh.

Dalam ruang ini kita cuba membawakan sedikit pengetahuan mengenai MAKHLUK HALUS yang mana ianya saya ambil daripada sebuah buku tulisan Yg. Bhg. Tuan Guru Prof. Dato’ Harun Din Al-Hafiz. Saya yakin tidak ramai diantara kita yang benar-benar berminat untuk menyimpan atau memiliki buku-buku sebegini. Namun pada saya ia merupakan sesuatu ilmu yang berguna kepada kita dalam menjalani kehidupan harian kita.

Mereka yang tidak berkesempatan untuk memiliki buku ini dapatlah memanfaatkan sedikit sebanyak daripada blog ini sebagai panduan kita bersama dalam menangani masalah berkaitan dengan MAKHLUK HALUS ini.

Sekiranya saudara/saudari ingin mengetahui lebih lanjut kandung ini sila dapatkan sendiri di kedai-kedai buku yg berhampiran atas tajuk MENJAWAP PERSOALAN MAKHLUK HALUS – KAITANNYA DENGAN PENYAKIT DAN PENGUBATAN. Terbitan Darussyifa’ dengan harga RM 20.00.

ADAKAH MAKHLUK HALUS BENAR-BENAR WUJUD?

Dalam Surah al-Ahqaf ayat 29, Allah SWT berfirman :

Maksudnya : Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain), “Diamlah kamu dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada bacaannya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyebarkan ajaran al=Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Disebutkan juga dalam hadith yang sahih bahawa Rasulullah SAW telah bertemu dengan masyarakat jin untuk menjelaskan ayat-ayat al-Quran. Hadith daripada Ibnu Abi Hatim yang diriwayatkan daripada Mujahid menceritakan Nabi SAW telah bertemu dengan masyarakat jin untuk berdakwah.

Samada hantu, jembalang, jin tanah, pelesit, bunian, dan sebagainya ialah makhluk halus yang wajib dipercayai kewujudannya sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran. Tidak mempercayai ayat al-Quran boleh membawa kepada kerosakan aqidah.

No comments:

Post a Comment