Sunday, December 19, 2010

KENAPA DUNIA ISLAM MENJADI SASARAN PEMUSNAHAN?


 

Maksud Hadith : “Daripada Ummul Mukminin, Zainab bt Jahshi isteri Rasulullah s.a.w., beliau berkata; (pada suatu hari) Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, Lailahaillallah, celaka (binasa) baki bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hamper menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding yakjuj dan makjuj seperti ini”, dan baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab bt Jahshi) lalu bertanya : “Ya Rasulullah! apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi s.a.w. bersabda : “Ya, jikalau kejahatan terlalu banyak.”

Hadith riwayat : Imam Bukhori dan Imam Muslim.

KETERANGAN :

Hadith di atas menerangkan bahawa apabila disuatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu, tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing di hari qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.

oleh itu, segala macam kemungkaran dan kefasikan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.

Dalam hadith di atas,walaupun khusus disebutkan bangsa Arab, tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita s.a.w. sendiri dari kalangan mereka, dan yang menerima Islam pada masa permulaan penyibarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain. Begitu pula halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju mundurnya umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab.

Kemudian yakjuj dan makjuj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam Alaihisalam) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di muka bumi ini, lalu batas daerah mereka  ditutup oleh Zulkarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah hamper tiba hari qiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa itu dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan di permukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari qiamat sudah dekat sekali tibanya.

No comments:

Post a Comment